Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia semasa Persidangan China: Asa Tenggara 2025 pada 17 Februari 2025 dilaporkan berkata bahawa ASEAN perlulah memperluas kerjasama globalnya melampaui batasan rakan kongsi tradisionalnya bagi memastikan bahawa ia kekal relevan dan strategik di pentas dunia pelbagai hala. Selanjutnya, ASEAN haruslah memperkukuh perhubungannya dengan China, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Pakatan Negara BRICS dan ekonomi yang kian muncul serta tidak memilih untuk berpihak dengan sesiapa.
Beliau mengulas bahawa, "Dengan memperluaskan lagi perkongsian, ASEAN boleh memperkukuh ketahanan ekonominya, menerima peluang pelaburan baru dan memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membentuk kerangka kerja pentadbiran di peringkat global."
Beliau lanjutnya menyatakan bahawa, "Ketahanan ekonomi blok serantau ini bergantung kepada bagaimana ia dapat melayari tiga cabaran ini secara berkesan iaitu, gangguan rantaian pembekal dan kepelbagaian ekonomi, keselamatan tenaga dan kemampanan, serta ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI)."
Selain itu, ASEAN perlu menjadi pusat bagi perdagangan global dan pelaburan yang boleh diharapkan dengan mengurangkan kerentanan terhadap kejutan dari luar. Pengukuhan tapak industri melalui pelaburan dalam industri pembuatan yang maju, semikonduktor, dan teknologi hijau juga dijangka akan menjadi semakin penting.
Grid kuasa ASEAN dan pelaburan tenaga yang boleh diperbaharui akan menjadi tumpuan yang memastikan pertumbuhan ekonomi lebih mementingkan iklim dalam jangka masa yang panjang. Grid kuasa ASEAN (APG) ini adalah rangkaian fizikal pemindahan talian tenaga elektrik dan infrastruktur perhubungan sistem kuasa dengan negara anggota ASEAN, mempermudah perdagangan tenaga elektrik merentasi sempadan dan perkongsian menerusi perhubungan dua hala serta pelbagai hala.
Anwar menambah lagi bahawa, Malaysia menyasarkan supaya 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2050 akan menjadi mercu tanda bagi usaha ASEAN ke arah kemampanan yang lebih meluas. Beliau berharap supaya negara anggota mengambil peluang daripada faedah yang ditawarkan oleh kemajuan teknologi. Mereka bolehlah membangunkan piawaian yang selaras untuk perlindungan data, melancarkan perdagangan digital yang merentasi sempadan dan melabur dalam inisiatif pengukuhan kapasiti yang menghubungkan jurang digital.
Rencana ini diadaptasi dari warta berita berbahasa Inggeris berjudul, "ASEAN must expand engagements beyond traditional partners, says Anwar", terbitan Malaysia Kini pada 17 Februari 2025 yang disiarkan melalui portal MSN News.