Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Sunday, 8 June 2025

Pertikaian Sempadan di Rantau ASEAN

Garis sempadan yang membahagikan satu kawasan geografi dengan satu kawasan yang lain adalah lebih rumit jika dibandingkan dengan lakaran yang terdapat di peta. Pemetaan hanya menunjukkan lakaran garisan yang merentasi lembah, bukit, sungai atau satu garisan lurus yang merentasi sebuah gurun. Sebaliknya, tidak semua garis sempadan adalah sama seperti yang terlukis di atas peta. Wujud beberapa perbezaan dalam keadaan sebenar di mana secara nyata, ia adalah lebih berkaitan dengan sejarah dan status semasa kedudukan garis sempadan tersebut. Umumnya, garis sempadan boleh dibahagikan kepada sempadan antarabangsa dan sempadan tidak rasmi yang melibatkan perbezaan budaya, pengagihan kumpulan suku kaum, serta dorongan keagamaan. Selain itu, dalam sesebuah negara, terdapat pula sempadan antara negeri, wilayah dan daerah yang hanya bertujuan memudahkan pentadbiran negara dan menurut pula kepada sistem pemerintahan di negara tersebut.

Kesimpulannya, negara berasaskan kepada nilai sempadan adalah penting dalam meletakkan maruah mereka selain daripada kedaulatan, pengiktirafan, penduduk serta kerajaan. Lantaran itu, peletakan skala sempadan yang tertentu akan menaikkan prestij negara itu sendiri di mata dunia. Malahan, sesebuah negara itu dianggap hebat seandainya mampu mengawal sempadan negaranya daripada dicerobohi dan menggunakan sepenuhnya asas persempadanan ini dalam memajukan taraf sosio ekonomi, politik, dan budaya negaranya. Adalah tidak menjadi kesalahan sekiranya sesebuah negara itu sanggup berperang kerana mempertahan sempadannya daripada dicerobohi oleh negara lain kerana nilai kedaulatan sesebuah negara dilihat daripada keupayaan sesebuah negara mempertahan sempadannya daripada dicabuli oleh negara lain.

Namun begitu, pertikaian sempadan ini mungkin tidak akan berlaku seandainya semua negara di dunia ini melihat kepada nilai keamanan dan keselamatan antarabangsa sebagai satu landasan dan matlamat bersama. Malahan nilai idealisme keamanan dan keselamatan ini akan mampu direalisasikan oleh setiap aktor dalam pentas antarabangsa sekiranya pertikaian dapat dielak dan diatasi berasaskan kepada faedah global yang sama.

Maka, di sini penting sekali peranan yang dimainkan oleh ASEAN. Sejak penubuhannya pada tahun 1967, keanggotaan ASEAN mencapai 10 buah negara. Cabaran terbesar yang dihadapi oleh ASEAN sekarang adalah usaha mewujudkan jalinan dan kerjasama terutama dalam menangani pertikaian dalam kalangan negara anggota. Berlandaskan kepada prinsip inilah kebanyakan pertikaian yang dihadapi berkaitan dengan persempadanan cuba diselesaikan secara sejagat atas nama ASEAN di bawah Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) kumpulan negara serantau itu. 

Rencana rujukan dihasilkan oleh Encik Mohd Foad Sakdan dan Encik Ahmad Martadha Mohamed dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Rujukan gambar dari berita berjudul "Dua minggu semua isu sempadan Malaysia-Thailand diselesai" pada 27 November 2023 oleh Aimy Ahmad terbitan akhbar Utusan Malaysia. Sekian, terima kasih.

Sunday, 16 February 2025

ASEAN Perlu Perluas Kerjasama melampaui Rakan Kongsi Tradisional

Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia semasa Persidangan China: Asa Tenggara 2025 pada 17 Februari 2025 dilaporkan berkata bahawa ASEAN perlulah memperluas kerjasama globalnya melampaui batasan rakan kongsi tradisionalnya bagi memastikan bahawa ia kekal relevan dan strategik di pentas dunia pelbagai hala. Selanjutnya, ASEAN haruslah memperkukuh perhubungannya dengan China, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Pakatan Negara BRICS dan ekonomi yang kian muncul serta tidak memilih untuk berpihak dengan sesiapa.

Beliau mengulas bahawa, "Dengan memperluaskan lagi perkongsian, ASEAN boleh memperkukuh ketahanan ekonominya, menerima peluang pelaburan baru dan memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membentuk kerangka kerja pentadbiran di peringkat global."

Beliau lanjutnya menyatakan bahawa, "Ketahanan ekonomi blok serantau ini bergantung kepada bagaimana ia dapat melayari tiga cabaran ini secara berkesan iaitu, gangguan rantaian pembekal dan kepelbagaian ekonomi, keselamatan tenaga dan kemampanan, serta ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI)."

Selain itu, ASEAN perlu menjadi pusat bagi perdagangan global dan pelaburan yang boleh diharapkan dengan mengurangkan kerentanan terhadap kejutan dari luar. Pengukuhan tapak industri melalui pelaburan dalam industri pembuatan yang maju, semikonduktor, dan teknologi hijau juga dijangka akan menjadi semakin penting.

Grid kuasa ASEAN dan pelaburan tenaga yang boleh diperbaharui akan menjadi tumpuan yang memastikan pertumbuhan ekonomi lebih mementingkan iklim dalam jangka masa yang panjang. Grid kuasa ASEAN (APG) ini adalah rangkaian fizikal pemindahan talian tenaga elektrik dan infrastruktur perhubungan sistem kuasa dengan negara anggota ASEAN, mempermudah perdagangan tenaga elektrik merentasi sempadan dan perkongsian menerusi perhubungan dua hala serta pelbagai hala.

Anwar menambah lagi bahawa, Malaysia menyasarkan supaya 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2050 akan menjadi mercu tanda bagi usaha ASEAN ke arah kemampanan yang lebih meluas. Beliau berharap supaya negara anggota mengambil peluang daripada faedah yang ditawarkan oleh kemajuan teknologi. Mereka bolehlah membangunkan piawaian yang selaras untuk perlindungan data, melancarkan perdagangan digital yang merentasi sempadan dan melabur dalam inisiatif pengukuhan kapasiti yang menghubungkan jurang digital.

Rencana ini diadaptasi dari warta berita berbahasa Inggeris berjudul, "ASEAN must expand engagements beyond traditional partners, says Anwar", terbitan Malaysia Kini pada 17 Februari 2025 yang disiarkan melalui portal MSN News. 

Thursday, 1 April 2021

Rampasan Kuasa Tentera di Myanmar

 

Rampasan kuasa di Myanmar berlaku pada pagi 1 Februari 2021 tidak lama selepas Pilihanraya Umum Myanmar yang dijalankan pada 8 November 2020. Dalam peristiwa ini, parti pemerintah iaitu Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi telah dijatuhkan oleh Tatmadaw atau tentera Myanmar yang kemudian memegang kuasa secara stratokrasi.

Tatmadaw mengisytiharkan tempoh darurat selama setahun dan kuasa pemerintahan dipindahkan kepada Jeneral Min Aung Hlaing, Ketua Pemerintah Perkhidmatan Pertahanan Myanmar. Tatmadaw mengisytiharkan bahawa keputusan Pilihanraya Umum yang dijalankan pada tahun lepas sebagai tidak sah dan menyatakan bahawa ia akan mengadakan semula pilihanraya pada penghujung tempoh darurat walaupun warga Myanmar keseluruhannya berpuas hati dengan keputusan pilihan raya.

Bacaan Lanjut

Kredit Gambar: BuzzFeed News