Menangani Pertikaian Sempadan

Terdapat beberapa penyelesaian yang boleh diutarakan sebagai usaha mengatasi kemelut konflik sempadan.Perkara ini telah menjadi agenda utama penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1945 berikutan kegagalan 'Liga Bangsa' dan 'Concert of Europe' dalam menangani permasalahan kedamaian dunia. Malahan, hasrat keamanan dan keselamatan serantau menjadi hasrat seluruh warga dunia.

Peranan Institusi dan Prosedur Undang-Undang

PBB ditubuhkan bertujuan untuk memenuhi matlamat ini. Tercatat di dalam Bahagian (A), Artikel 1, bahawa matlamat utama yang membawa kepada penubuhan PBB ialah untuk memperjuang keselamatan dan keamanan di peringkat antarabangsa. Secara tidak langsung, ketegangan yang dicetuskan akibat daripada pertelagahan sempadan baru yang berlaku selepas Perang Dunia Kedua akan dapat diselesaikan dengan cara yang betul.

Dalam masa yang sama, penubuhan Mahkamah Keadilan Antarabangsa menjadi alternatif kedua yang difikirkan dapat memberikan jalan keluar dan penyelesaian kepada konflik. Keberkesanan kedua-dua badan ini yang menjadi badan rujukan utama dalam menyelesaikan pertikaian persempadanan walaupun tidak begitu praktikal secara pasti namun mampu meredakan ketegangan dan mampu membawa pihak yang bertelagah ke meja rundingan.

Kedua-dua institusi ini menerapkan sepenuhnya Undang-Undang Antarabangsa atau Statute of International Court of Justice dan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Charter of United Nations) sebagai garis panduan dalam menyelesaikan pertelingkahan yang wujud akibat pertikaian sempadan.

Diplomasi

Diplomasi menjadi jalan penyelesaian yang menggunakan asas perundingan dan perbincangan yang akan mewujudkan persetujuan bersama untuk sesuatu perkara. Jaringan kerjasama antara negara yang akrab boleh membantu mengatasi masalah ini.

Kewujudan diplomat atau duta sebenarnya selain daripada menjadi wakil negara, mereka juga mempunyai peranan menjalankan misi perdamaian dengan melaksanakan perbincangan awalan bagi mengelakkan sesuatu konflik daripada berterusan. Selain itu, diplomat juga diutus ke negara jiran yang berkongsi sempadan yang sama. Kes ini dapat dilihat dalam peristiwa pertelagahan tuntutan pemilikan ke atas Pulau Batu Putih atau Pedra Branca antara Malaysia dan Singapura. Diplomat yang bertugas di kedua-dua negara berterusan mengamalkan diplomasi peringkat tinggi bagi mengelakkan pertelingkahan daripada berlarutan.

Peranan diplomasi ini tidak terhad di bahu para diplomat sahaja. Malahan, ketua sesebuah negara juga mampu mengadakan perbincangan atas dasar diplomasi bagi mengelakkan berlakunya perbalahan yang mengakibatkan pertumpahan darah apabila melibatkan isu sempadan. Banyak kes telah diselesaikan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak yang bertelagah mengenai isu sempadan negara masing-masing selepas proses rundingan dijalankan walaupun kadang kala ia mengambil masa yang lama. 

Akhir sekali, diplomasi memainkan peranan dalam mewujudkan perjanjian damai yang dipersetujui oleh pihak yang terlibat dalam pertelagahan sempadan.