Bentuk Pertikaian Sempadan

Pertikaian sempadan wujud apabila sesebuah negara menuntut kawasan berhampiran dengan negaranya disebabkan oleh sesuatu kualiti yang dimiliki oleh kawasan tersebut. Kualiti yang dimaksudkan termasuklah dari segi kepentingan sejarah, kawasan berstrategi, dan mempunyai sumber ekonomi yang berpotensi seperti hasil minyak atau kawasan laut dalam untuk pelabuhan.

Pertikaian tidak akan timbul sehinggalah ia melibatkan perbalahan diplomatik atau melibatkan penggunaan kuasa ketenteraan, tetapi secara tidak langsung ia akan memberi tekanan kepada pihak yang kena tuntut. Menurut undang-undang antarabangsa, sesuatu pertikaian sempadan adalah disebabkan oleh ketidaksetujuan dengan fakta atau konflik ke atas tuntutan perundangan atau atas kepentingan antara dua atau lebih pihak yang terlibat.

Secara umum, terdapat empat jenis pertikaian sempadan yang utama iaitu pertikaian posisi, pertikaian kawasan, pertikaian ke atas sumber dan pertikaian kebudayaan. Dalam pertikaian posisi, kedudukan atau lokasi sebenar persempadanan menjadi tanda tanya. Sesebuah negara mungkin tidak setuju dengan sesuatu garis sempadan kerana mungkin ia diukur secara tidak tepat, rekod ketinggalan zaman atau disebabkan oleh alasan lain. Contohnya, pertikaian kedudukan wilayah Cordillera del Condor di antara Ecuador dan Peru.

Kedudukan geografi seperti sungai dan banjaran gunung biasanya digunakan sebagai asas persempadanan, akan tetapi posisi yang dianggap tetap ini lama-kelamaan mengalami proses geophysical akan berubah juga posisinya. Bila kedudukan ini turut berubah, maka pertikaian akan timbul.  Contohnya posisi Sungai Congo yang menjadi sempadan antara Republic of Congo dengan Democratic Republic of Congo (Zaire) menjadi pertikaian disebabkan oleh penghakisan dan penimbunan lanar dan lumpur Sungai Congo.

Pertikaian kawasan pula terjadi apabila sesuatu kawasan negara menuntut sesuatu kawasan di dalam sesebuah negara lain yang didakwa adalah miliknya. Pertikaian jenis ini berlaku disebabkan alasan faktor sejarah atau alasan budaya.  Suatu kawasan mungkin telah diduduki oleh sekumpulan manusia atau menjadi kawasan sesuatu negara mengikut sejarah dahulu kala.  Faktor sejarah ini terbongkar kemudian daripada pembahagian asal dan ini menyebabkan negara menuntut semula tambahan kawasan sebagai wilayahnya. Contohnya kes Iraq menuntut wilayah Kuwait dalam tahun 1990 dengan mendakwa Kuwait adalah wilayah Iraq pada zaman dahulu. Contoh lain ialah pertikaian kawasan antara Nigeria dan Cameroon ke atas Semenanjung Bakasi.

Manakala pertikaian ke atas sumber pula selaras dengan perkembangan populasi penduduk dunia, keperluan kepada sumber asas seperti makanan, minuman dan minyak yang menjadi semakin kritikal untuk sesebuah negara terus hidup.  Pertikaian sempadan ini biasanya berlaku kerana perebutan ke atas sumber-sumber asli untuk kepentingan ekonomi sesebuah negara. Hari ini jika dilihat kebanyakan konflik yang berlaku di dunia adalah berpunca dari asas pertikaian bentuk ini.

Perbezaan budaya, anutan agama dan fahaman politik merupakan satu bentuk lagi punca kepada pertikaian sempadan.  Perbezaan ini walaupun sukar untuk menentukan sempadannya, namun ia kerap menjadi sumber kepada pertelingkahan yang melibatkan penduduk sesebuah negara. Kadangkala perbezaan kumpulan suku kaum ini membawa kepada penyingkiran atau dihalau keluar dari sempadan kawasan kaum majoriti setempat.

Pertelingkahan jenis ini agak sukar untuk diselesaikan kerana mereka yang terlibat adalah juga warganegara dan pengasingan mereka ke kawasan lain melibatkan pencerobohan sempadan negara yang berkenaan.  Contohnya pertikaian di dalam dan di sekitar sempadan Jurusalem yang berasaskan anutan agama di kalangan penganut Yahudi, Kristian dan Islam. Manakala di Ireland Utara pula, pertelingkahan antara penganut Roman Katolik dan Protestan yang menuntut supaya kawasan itu dijadikan sebagai kawasan Protestan sepenuhnya.

Dari perbincangan di atas, konflik juga mungkin berpunca daripada dua atau lebih daripada bentuk yang dinyatakan secara serentak. Pertikaian sempadan juga tidak semestinya berpunca daripada perbalahan antara negara, tetapi juga berlaku disebabkan faktor dalaman negara sendiri seperti pertikaian sempadan negara atau daerah yang berpunca daripada kelemahan pentadbiran dan masalah sumber pendapatan atau perubatan sumber ekonomi serta kuasa politik. Masalah dalaman seperti perbezaan suku kaum, agama, budaya juga menjadi pertikaian hingga membawa kepada tuntutan pemecahan sempadan untuk kuasa pemerintahan sendiri atau memohon kuasa autonomi bagi sesuatu wilayah dalam sesebuah negara.