Sunday, 8 June 2025

Pertikaian Sempadan di Rantau ASEAN

Garis sempadan yang membahagikan satu kawasan geografi dengan satu kawasan yang lain adalah lebih rumit jika dibandingkan dengan lakaran yang terdapat di peta. Pemetaan hanya menunjukkan lakaran garisan yang merentasi lembah, bukit, sungai atau satu garisan lurus yang merentasi sebuah gurun. Sebaliknya, tidak semua garis sempadan adalah sama seperti yang terlukis di atas peta. Wujud beberapa perbezaan dalam keadaan sebenar di mana secara nyata, ia adalah lebih berkaitan dengan sejarah dan status semasa kedudukan garis sempadan tersebut. Umumnya, garis sempadan boleh dibahagikan kepada sempadan antarabangsa dan sempadan tidak rasmi yang melibatkan perbezaan budaya, pengagihan kumpulan suku kaum, serta dorongan keagamaan. Selain itu, dalam sesebuah negara, terdapat pula sempadan antara negeri, wilayah dan daerah yang hanya bertujuan memudahkan pentadbiran negara dan menurut pula kepada sistem pemerintahan di negara tersebut.

Kesimpulannya, negara berasaskan kepada nilai sempadan adalah penting dalam meletakkan maruah mereka selain daripada kedaulatan, pengiktirafan, penduduk serta kerajaan. Lantaran itu, peletakan skala sempadan yang tertentu akan menaikkan prestij negara itu sendiri di mata dunia. Malahan, sesebuah negara itu dianggap hebat seandainya mampu mengawal sempadan negaranya daripada dicerobohi dan menggunakan sepenuhnya asas persempadanan ini dalam memajukan taraf sosio ekonomi, politik, dan budaya negaranya. Adalah tidak menjadi kesalahan sekiranya sesebuah negara itu sanggup berperang kerana mempertahan sempadannya daripada dicerobohi oleh negara lain kerana nilai kedaulatan sesebuah negara dilihat daripada keupayaan sesebuah negara mempertahan sempadannya daripada dicabuli oleh negara lain.

Namun begitu, pertikaian sempadan ini mungkin tidak akan berlaku seandainya semua negara di dunia ini melihat kepada nilai keamanan dan keselamatan antarabangsa sebagai satu landasan dan matlamat bersama. Malahan nilai idealisme keamanan dan keselamatan ini akan mampu direalisasikan oleh setiap aktor dalam pentas antarabangsa sekiranya pertikaian dapat dielak dan diatasi berasaskan kepada faedah global yang sama.

Maka, di sini penting sekali peranan yang dimainkan oleh ASEAN. Sejak penubuhannya pada tahun 1967, keanggotaan ASEAN mencapai 10 buah negara. Cabaran terbesar yang dihadapi oleh ASEAN sekarang adalah usaha mewujudkan jalinan dan kerjasama terutama dalam menangani pertikaian dalam kalangan negara anggota. Berlandaskan kepada prinsip inilah kebanyakan pertikaian yang dihadapi berkaitan dengan persempadanan cuba diselesaikan secara sejagat atas nama ASEAN di bawah Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) kumpulan negara serantau itu. 

Rencana rujukan dihasilkan oleh Encik Mohd Foad Sakdan dan Encik Ahmad Martadha Mohamed dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Rujukan gambar dari berita berjudul "Dua minggu semua isu sempadan Malaysia-Thailand diselesai" pada 27 November 2023 oleh Aimy Ahmad terbitan akhbar Utusan Malaysia. Sekian, terima kasih.