Pengenalan Malaysia

Malaysia umumnya diterima oleh cendekiawan sains politik dan sosial sebagai masyarakat yang terpecah dan terbahagi-bahagi, "masyarakat yang pelbagai etnik dan di mana etnik tersebut pula terlibat dalam politik perpecahan yang menonjol iaitu masing-masing yang berkepentingan ditentang untuk pelbagai tujuan politik, contohnya seperti pilihanraya." Masyarakat yang terpecah lebih berisiko untuk mengalami polarisasi dan pertelingkahan sosial. Paulo Mauro dalam "Corruption and Growth" yang diterbitkan dalam "Quaterly Journal of Economics, Vol. 110 Bil. 3 (1995) mendapati bahawa kepelbagaian linguistik membawa kepada kemungkinan besar berlakunya ketidakstabilan politik yang seterusnya akan melembapkan lagi perkembangan ekonomi. Maka, ramai cendekiawan bersetuju bahawa kepelbagaian etnik ini menyongsang pemeliharaan demokrasi dalam sesuatu negara.

Selain itu, pakar teori politik yang merekacipta institusi demokratik bagi mengurangkan ancaman perpecahan etnik pun memberikan amaran bahawa ciri yang pelik ini bakal menimbulkan mara bahaya kepada negara. Donald Horowitz dalam "Democracy in Divided Societies" (1993) menyebut bahawa, "terdapat sebab musabab dari segi sistem, kenapa sukar sekali untuk menghasilkan institusi yang kondusif bagi menampung kemunculan demokrasi pelbagai etnik."

Buku "Government and Politics in Malaysia" yang disunting oleh Abdul Rashid Moten menyatakan bahawa sikap pesimisme tersebut sebenarnya tidak perlu ada sama sekali. Parti yang berasaskan bahasa, bangsa dan agama telah pun berfungsi dalam politik di Malaysia. Namun, berlawanan dengan jangkaan yang mana Malaysia masih lagi berada dalam keadaan stabil dan berkembang. Dalam membandingkan rekod Malaysia dan Sri Lanka, Donald Horowitz menggariskan bahawa semasa proses nyah penjajahan, Sri Lanka sebenarnya disangkakan akan mencapai keamanan, manakala Malaysia pula akan mengalami pertelingkahan yang berpanjangan. Namun, sangkaan tersebut didapati meleset. Malaysia dilaporkan bebas daripada pertelingkahan etnik yang besar. Satu-satunya pertelingkahan yang dikenalpasti dan diingati berlaku pada 13 Mei 1969 selepas perarakan kemenangan dalam pilihanraya pada tahun 1969. Demonstrasi yang gegak gempita dan bersifat provokasi perkauman itu menyebabkan berlakunya rusuhan yang meragut nyawa 169 orang serta mencederakan seramai 409 orang. Kerajaan Malaysia pada ketika itu mengambil langkah bagi mengekang keganasan yang antaranya adalah dengan:

  • Memperketat peruntukan undang-undang bagi memelihara keamanan dan keselamatan;
  • Memperkenal ideologi baru yang digelar sebagai Rukun Negara;
  • Memperkenal Dasar Ekonomi Baru (DEB); dan
  • Menggantikan Perikatan tiga parti dengan pakatan Barisan Nasional (BN) yang lebih luas bagi mentadbir negara.
Bab ini akan memberikan pandangan secara keseluruhan mengenai masyarakat, sistem politik dan agama Islam yang diamalkan di Malaysia. Selain daripada itu, ia akan membincangkan mengenai ciri penting Malaysia sebagai masyarakat yang terpecah, menganalisis ciri sistem politik di Malaysia dan meneliti peranan Islam dalam kerajaan serta politik di Malaysia. Oleh itu, bab ini akan dimulakan dengan perbincangan mengenai pembentukan apa yang dikatakan sebaga, "Malaysia".