Pengaruh India di Myanmar

Pedagang India bukan sahaja membawa bertan-tan bahan berharga namun mereka turut membawa idea keagamaan, politik, dan kebudayaan yang membentuk pemikiran masyarakat asli di kawasan tersebut terutamanya dari segi pemikiran, kesenian dan pertukangan.

Selain itu, komponen penting dalam kebudayaan tempatan di Myanmar masih lagi dikekalkan dan disenyawakan dengan kebudayaan dari benua kecil India. Myanmar yang dikelilingi oleh tiga bahagian gunung dan yang keempatnya pula oleh laut, terasing hingga menjamin kesinambungan kebudayaannya yang tersendiri dan penduduknya walaupun menerima pengaruh dari India serta kedudukannya yang hampir dengan kebudayaan Asia Tenggara yang lain.

Myanmar juga merupakan antara kawasan terawal di Asia Tenggara yang menerima ajaran Buddha, dan menjelang abad ke-11 masihi menjadi pusat kepada amalan Buddha dari aliran Theravada. Agama Buddha menerima sokongan dari kepimpinan negara, dan menjadi asas ideologi negara Myanmar yang berkembang di Pagan, di lembangan tengah yang kering.