![]() |
Kepulauan Spratly |
Konflik tuntutan ke atas kepulauan Spratly ini telah bermula sejak Perang Dunia Kedua. Namun sehingga tahun 1950 masih tidak wujud lagi tuntutan yang sah dibuat ke atas kepulauan ini dan ia hanya dianggap sebagai halangan terhadap pelayaran. Bagaimanapun pada hari ini tiada satu negarapun yang dapat menuntut sepenuhnya hak kedaulatan ke atas kepulauan Spratly tanpa dicabar oleh negara-negara yang berhampiran. Secara keseluruhannya terdapat 6 buah negara yang masing-masing menuntut sepenuhnya ataupun sebahagian kecil daripada kepulauan ini. Negara-negara yang terlibat dalam kemelut tuntutan bertindih kepulauan Spratly ini terdiri daripada China, Taiwan, Vietnam, Filipina, Malaysia dan tidak ketinggalan Brunei.
Antara tahun 1980 hingga 1990 telah bermula perlumbaan untuk menyokong tuntutan ke atas kedaulatan oleh negara-negara yang terlibat di dalam tntutan bertindih ke atas dengan kepulauan Spratly ini dengan menduduki pulau-pulau yang dapat menampung kehidupan atau membina ‘marker’ atau petanda di mana pulau itu tidak dapat menampung kehidupan. Dalam kes-kes tertentu, negara yang menuntut telah membina struktur binaan di atas pulau yang tenggelam ketika air pasang supaya dapat mengekalkan kehadiran secara fizikal pulau ini. Perlumbaan untuk menduduki kepulauan Spratly ini telah meningkatkan ketegangan sehingga mewujudkan konflik antarabangsa. Hasilnya telah berlaku ancaman ketenteraan dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan kepulauan Spratly menjadi rebutan iaitu dari aspek kedudukannya yang strategik dan ekonomi. Dari sudut strategik di mana kedudukannya yang terletak di tengah-tengah laluan utama timur dan Barat. Manakala dari aspek eoonomi, gugusan kepulauan Spratly ini dikatakan mempunyai sumber galian yang masih belum diterokai lagi. Kedua-dua aspek ini menyebabkan penyelesaian terhadap isu ini sukar dicapai.
Isu pertelingkahan perebutan pulau Spratly adalah isu yang sukar untuk diselesaikan di dalam bentuk perundingan. Meskipun terdapat banyak perundingan penyelesaian terhadap isu ini masih belum sampai ke jalan penghujungnya. Banyak faktor-faktor yang menyebabkan isu ini masih belum diselesaikan sehingga sekarang. Isu ini yang unik. Pertamanya kerana ia menjadi rebutan banyak negara Asia Tenggara termasuk China. Kedua, pulau Spratly merupakan gugusan pulau-pulau yang kaya dengan sumber mineralnya. Ketiga, tuntutan kesemua negara penuntut adalah seimbang dan isu ini benar-benar mencabar kewibawaan undang-undang antarabangsa terutamanya dari aspek perundangan maritim.
China dan Taiwan menuntut pulau ini berdasarkan faktor sejarah. Tuntutan Filipina terhadap kepulauan itu adalah berdasarkan prinsip terra nullius dan berbeza daripada prinsip terra nullius dan berbeza daripada prinsip tuntutan negara-negara lain. Sementara itu tuntutan Malaysia dan Brunei ke atas kepulauan Spratly adalah berdasarkan Pentas Benua.
Secara keseluruhannya konflik Spratly ini mempunyai potensi untuk diselesaikan melalui undang-undang antarabangsa. Walau bagaimanapun undang-undang antarabangsa itu sendiri terutamanya dalam undang-undang persempadanan perlu diperjelaskan dengan lebih terperinci bagi meningkatkan kredibilitinya. Di samping itu juga negara-negara yang menuntut perlulah bekerjasama dan lebih komited untuk menyelesaikan masalah ini. Sesungguhnya isu Spratly ini sangat kompleks dan penyelesaian yang konkrit tidak mungkin dicapai dalam masa yang terdekat ini.