Dengan berkuatkuasanya Piagam ASEAN pada 15 Disember 2008, ASEAN sejak daripada itu beroperasi di bawah kerangka undang-undang yang baru dan mengasaskan sejumlah organisasi baru bagi menyuburkan lagi proses pembinaan komunitinya.
Piagam ASEAN telah diratifikasikan sepenuhnya atau diterima oleh negara anggota tanpa Parlimen atau apabila ratifikasi tersebut boleh dijalankan melalui keputusan Kabinet di semua 10 negara anggota ASEAN. Singapura menjadi negara yang pertama meletakkan instrumen ratifikasinya dengan Setiausaha Agung ASEAN pada 7 Januari 2008. Manakala Thailand menjadi yang terakhir iaitu pada 15 November 2008.
Kesannya, Piagam ASEAN menjadi persetujuan yang mengikat secara perundangan dalam kalangan negara anggota ASEAN. Ia akan didaftarkan juga dengan Urus Setia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengikut Perkara 102, Perenggan 1 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Dari segi kepentingan Piagam ASEAN ini, ia boleh dilihat melalui konteks kerangka kerja politik dan perundangan yang baru serta penubuhan agensi baru ASEAN bagi mempertingkat lagi proses pembinaan komunitinya. Komitmen politik barunya di peringkat tinggi adalah untuk:
- Menyatukan ASEAN di bawah Satu Wawasan, Satu Jati Diri, dan Satu Komuniti yang Saling Berkongsi serta Menyayangi; dan
- Membina Komuniti ASEAN yang terdiri daripada Komuniti Politik dan Keselamatan, Komuniti Ekonomi serta Komuniti Sosial dan Kebudayaan.
Bacaan lanjut dalam bahasa Inggeris boleh diperolehi dari, "Significance of the ASEAN Charter" dari laman sesawang Urus Setia ASEAN.