Pengenalan Myanmar

Ketamadunan awal di Myanmar termasuklah negara-negara kota berbahasa Tibeto-Burman yang dihuni oleh etnik Pyu di Burma atas dan kerajaan-kerajaan orang Mon di Burma bawah. Pada abad ke-9 M, orang Bamar memasuki kawasan hulu Lembah Irrawaddy dan seterusnya mengasaskan kerajaan Pagan pada 1050. Bahasa Burma, kebudayaan Burma dan ajaran Buddha Theravada perlahan-lahan mendapat tempat di kebanyakan rantau dalam Myanmar kini. Kerajaan Pagan jatuh disebabkan oleh penaklukan orang Mongol. Selain itu, muncul pula beberapa negara yang kerap berperang sesama sendiri.

Pada abad ke-16, dinasti Toungoo menyatukan semua kerajaan dalam Burma. Walau bagaimanapun , kewujudan dinasti ini sangat pendek sekali. Dinasti ini membentuk empayar yang terbesar dalam sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Pada abad ke-19, dinasti Konbaung memerintah kawasan-kawasan yang kini termasuk dalam wilayah-wilayah moden Myanmar. Selain itu, ia turut menguasai kawasan Manipur dan kawasan Assam walaupun hanya sekejap. Penjajah British kemudian mengambil alih pentadbiran Burma selepas tiga Peperangan Anglo-Burma pada abad ke-19. Burma menjadi koloni British. Burma menerima mencapai kemerdekaannya dan dikenali sebagai Myanmar pada tahun 1948 serta menjadi sebuah negara bangsa demokratik. Berikutan rampasan kuasa tentera pada tahun 1962, Myanmar diperintah oleh pemerintahan tentera kuku besi bawah Parti Program Sosialis Burma.

Dalam kebanyakan tahun kemerdekaannya, Myanmar seringkali dilanda masalah pertelingkahan etnik. Keadaannya yang mempunyai banyak kumpulan etnik itu menyebabkannya terlibat dalam peperangan saudara yang terpanjang sekali dalam dunia. Ketika ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa organisasi lain melaporkan mengenai sekatan hak asasi manusia yang sistematik serta konsisten di Myanmar.

Pada 2011, junta tentera Myanmar dibubarkan secara rasmi berikutan pilihanraya umum pada tahun 2010. Kerajaan pada nama orang awam dibentuk. Keadaan ini berlaku serentak dengan pembebasan Aung San Suu Kyi dan tahanan-tahanan politik lain. Ia turut memperbaiki rekod hak asasi manusia Myanmar dan hubungan antarabangsanya. Selain itu, ia membantu meningkatkan perdagangan dan mengangkat sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Myanmar oleh negara-negara lain di dunia. Walau bagaimanapun, kritikan-kritikan pedas masih beterusan kerana layanan pemerintah Myanmar terhadap etnik-etnik minoritinya, maklumbalasnya terhadap kekacauan etnik dan pertembungan agama. Dalam pilihanraya tahun 2015, parti Aung San Suu Kyi memenangi majoriti di Parlimen dan Dewan Rakyat. Namun, tentera Burma masih lagi berkuasa dalam hal-ehwal politik di Myanmar.

Myanmar merupakan negara pengeluar jed dan batu permata, minyak, gas asli dan mineral-mineral lain. Pada tahun 2013, GDP (pada nama) Myanmar berada pada US$56.7 bilion dan GDP (PPP) nya adalah pada US$221.5 bilion. Jurang pendapatan di Myanmar adalah antara yang terluas sekali di dunia kerana sebahagian besar dari ekonominya dikuasai oleh penyokong pemerintah tentera yang sebelumnya. Menjelang tahun 2016, Myanmar berada pada tangga ke-145 dari 188 negara dalam pembangunan manusia, menurut laporan Human Development Index.